Qis bersendirian di sebuah taman yang indah dihiasi bunga ros putih di sekelilingnya. Dia melihat seluruh tubuhnya. Dia sedang memakai sebuah gaun putih yang sangat cantik. Rambutnya juga berwarna putih dan panjang. Dia juga memakai sarung tangan berwarna putih. Qistina tertarik dengan sekuntum bunga ros yang berwarna merah. Dia memetik satu-satunya ros merah itu dan menghidu harumannya. Suatu suara dengan tiba-tiba kedengaran. Suara itu berkata,
“Kau akan bertemu dengan jodoh kau hari ni.”
“Jodoh?” tanya Qis. “Macam mana saya nak tahu itu jodoh saya?”
“Kau akan terserempak dengannya tiga kali. Dua hari ni, satu esok.”
Tiba-tiba, di hadapannya, muncul sebuah cahaya yang sangat terang sehingga dia menutup mata dengan tangannya. Cahaya itu kemudiannya semakin menghilang. Qistina mengalihkan tangannya kembali. Dia melihat di hadapannya, seorang lelaki bersut putih menghampirinya. Seorang lelaki yang sangat kacak dan sangat sempurna di mata Qis.
“Lee Jun Hee,” kata Qis, menyebut nama lelaki itu.
Qis pun berlari ke arah lelaki itu. Tiba-tiba dia terjatuh.
“Aduh!” Qis membuka matanya. Dia mendapati kawasan sekelilingnya dah bertukar menjadi sebuah bilik yang penuh dengan poster. Di atas meja, penuh dengan kertas.
“Mimpi ke? Alangkah baiknya kalau mimpi tu betul-betul,” Qis tersenyum sendirian dan mengambil bantalnya, “Oh Lee Jun Hee…”
Qis melihat jarum jam di dinding biliknya. Jam itu seakan-akan menunjukkan pukul 7 malam. Qis tersentap dan segera mendapatkan cermin matanya. Dia melihat sekali lagi jam itu. Memang benar sudah pukul 7. Dia segera masuk ke dalam bilik air dan mandi. Dia bersiap dengan segera.
Qis keluar daripada rumah dan mengunci pintu. Telefonnya berdering. Dia pun menjawab panggilan telefon tersebut.
“Qis, kau kat mana?! Dah setengah jam aku tunggu kau! ”
“Sorry-sorry, aku tertidur tadi. Aku on the way sekarang. Kau tunggulah sekejap lagi.”
“Hmm. Takpayahlah Qis. Aku dah tahan teksi dah. Kita jumpa kat pintu masuk je.”
“Okey, tapi tiket aku, kau pegang kan? Jangan masuk dulu tau. Kalau tak aku tak boleh masuk nanti.”
“Kalau kau lambat sampai, aku masuk dulu. Kau tahu kan ini tiket VIP? Ingat senang ke nak dapat tiket ni? Okeylah babai!”
Lina mematikan panggilan telefon dengan agak dingin.
“Tapi aku yang dapatkan tiket tu,” kata Qis, sendiri.
Qis memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket baju dan berlari ke perhentian bas. Selang beberapa minit, dia asyik melihat jam yang dipakai olehnya. Konsert itu akan bermula tak lama lagi. Qis cuma ada setengah jam saja. Entah sempat ataupun tidak ke sana. Qis sudah beberapa kali cuba untuk menahan teksi yang lalu lalang di situ tetapi tiada satu pun yang berhenti.
“Kalau ada teksi lalu kali ni, aku tahan dia sampai dia tak boleh jalan! Aku paksa sampai dia nak hantar aku. Kalau tak ada teksi, kereta biasa pun boleh jadi mangsanya,” kata Qis. Kata-kata itu sememangnya perlu dikeluarkan apabila seseorang itu terdesak.
Kelihatan sebuah teksi yang kira-kira seratus meter daripada perhentian bas itu. Qis tekad untuk melakukan aksi yang terdesak itu kerana sudah agak lewat. Dia tidak mahu ketinggalan menyaksikan konsert terakhir J4U itu.
Qis berdiri di tengah-tengah jalan. Dia memberanikan diri merenung tajam-tajam ke arah pemandu teksi itu. Teksi itu semakin hampir. Teksi itu kelihatan tidak mahu berhenti. Qis sudah agak takut, takut-takut dia akan dilanggar tetapi dia tetap dengan niatnya mahu menaiki teksi itu. Teksi itu kemudiannya berhenti betul-betul di hadapan Qis. Pemandu teksi itu mengeluarkan kepalanya,
“Dik, kalau nak naik teksi abang, tahan jelah macam biasa. Tak payahlah nak berdiri tengah-tengah macam ni macam nak bunuh diri.”
“Abang boleh hantar saya pergi stadium tak? Hari ni konsert J4U yang terakhir. Saya tak pernah berpeluang nak tangkap gambar dengan mereka. Tapi sekarang, saya dah lambat ke sana pun. Tapi, saya tetap nak pergi ke sana jugak. Harap-harap kawan saya masih tunggu saya. Kali ni, saya mesti dapat bergambar dengan mereka. Saya yakin!”
“Ya dik. Abang bangga dengan semangat adik. Tapi, adik masuklah dulu dalam teksi abang ni. Tak nampak ke belakang teksi abang ni dah beratur kereta nak lalu?”
Qis tersengih-sengih dan segera masuk ke dalam teksi.
“Abang, bawak laju-laju tau.”
“Adik nak cepat ye? Beres dik. Adik pakai je tali pinggang keledar dan duduk diam-diam. Tak sampai sepuluh minit, kita akan sampai ke destinasi yang adik impikan. Watch and learn.”
Qistina seorang remaja yang terlalu minat dengan sebuah band terkenal Korea, J4U. J4U sering membuat konsert di Malaysia. Tetapi hari itu merupakan hari terakhir J4U membuat konsert di sini. Qis tidak mahu melepaskan peluang ini lagi-lagi dia telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan tiket VIP.
“Terima kasih, bang. Nah duit tambang. Keep the change.”
Qistina tiba di pintu masuk stadium. Dia tercari-cari kawannya. Seperti yang dijanjikan, Lina sepatutnya berada di hadapan pintu masuk stadium. Qis cuba beberapa kali menelefon Lina tetapi gagal. Qis cuba pula untuk masuk ke dalam stadium itu tanpa tiket namun tetap gagal. Qistina akhirnya berputus asa untuk masuk ke dalam. Namun, dia masih berada di depan stadium. Sedih kerana tidak dapat menyaksikan konsert band kegemarannya. Sesekali itu dia cuba menelefon Lina walaupun hasilnya tetap sama.
“Masih ada sepuluh minit lagi sebelum konsert. Kenapa Elina tak tunggu aku? Aku nak tengok konsert tu! J4U... Kenapa begitu kejam tak izinkan aku tengok konsert live korang yang terakhir? Ni peluang untuk aku bergambar dengan korang. Ahh!!!” rungut Qistina.
Tak lama lepas tu, Qis terlihat kelibat seorang lelaki yang agak aneh. Dia memakai kot hitam yang besar, memakai topi dan bercermin mata hitam.
“Macam penyiasat pun ada jugak mamat ni.”
Tergerak hati hendak mengetahui siapa disebalik kot hitam itu, Qis pun mengekori lelaki itu.
“Kenapa mamat ni pakai macam ni malam-malam macam ni? Baru keluar daripada stadium tu pulak tu. Entah-entah, dia baru lepas bunuh orang tak? Ataupun macam andaian aku, dia ni penyiasat persendirian? Atau perogol bersiri. Ish, apa dia buat agaknya kat dalam stadium. Hmm... Stadium?? Konsert?? J4U?? Entah-entah dia apa-apakan J4U tak? Bermakna berkemungkinan Lee Jun Hee dalam bahaya! Aku kena pastikan. Tapi, macam mana aku nak masuk kat dalam? Entah-entah, sekarang tengah kelam kabut? Apa caranya? Lina! Baik aku telefon dia. Harap-haraplah dia nak jawab panggilan aku.”
Qis mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Elina. Seperti yang dijangka, Lina masih tidak dapat dihubungi. Qis menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam poket baju dan terus mengekori lelaki pelik itu.
Qis tiba di suatu selekoh di mana dia melihat lelaki berpakaian serba hitam yang pelik itu menghala ke kanan. Dia pun mengambil langkah ke kanan tetapi dia kehilangan jejak lelaki itu.
“Eh, mana dia pergi? Baru tadi aku nampak dia berjalan ke arah ni.”
Qis mengeluh.
“Tapi, nuat apa aku susah-susah nak carik dia? Dia bukannya siapa-siapa pun. Dia Cuma seorang lelaki pelik yang berpakaian serba hitam pada waktu malam je. Menakutkan betul orang macam tu. Yalah! Menakutkan. Baru aku sedar lelaki itu menakutkan. Kenapa aku ekori dia? Kalau betul-betul dia perogol bersiri, aku yang habis karang,” kata Qis, sendiri. Memikirkan perkara yang bukan-bukan sambil berjalan.
Qis berjalan hingga ke sebuah taman permainan. Langkahnya terhenti apabila dia terjumpa sekali lagi dengan lelaki pelik itu. Lelaki itu sedang duduk di atas buaian. Kelihatan dia sedang bermain dengan seronok di situ. Qis menyorok di belakang batu. Dia ketawa kecil. Dia tergerak hati untuk merakam aksi lucu lelaki pelik itu.
“Kalau aku masukkan kat facebook, twitter, blog, youtube ni, gerenti ramai orang tengok. Ramai orang like. Eloknya aku rakam daripada aku terjumpa dia tadi,” kata Qis selepas selesai merakam kelakuan lelaki pelik itu. “Tapi, kenapa dia main buaian tengah malam? Pakai serba hitam pulak tu. Hairan pulak aku. Pelik betul mamat ni.”
Tiba-tiba telefon bimbit Qis dirampas oleh lelaki pelik itu. Lelaki itu sudah menyedari kehadiran Qis yang mengekorinya.
“Kau buat apa?” tanya lelaki itu.
Qis menundukkan kepalanya dan melangkah ke belakang perlahan-lahan. Qis takut kalau-kalau lelaki itu memang seorang perogol bersiri.
“Kau perogol bersiri ke?” tanya Qis, selamba.
“Apa? Perogol bersiri? Dari tadi kau ikut aku sebab ingat aku perogol?”
Qis mengambil langkah seribu dan terus melarikan diri sehingga lelaki itu kehilangan jejaknya.
“Hush! Nasib baik aku sempat lari. Kalau tak, tak tahu apa jadi dengan aku,” kata Qis, lega.
Dia kembali ke stadium tempat di mana konsert J4U sedang berlangsung. Dia masih mempunyai harapan untuk masuk ke dalam stadium itu.
Selang beberapa ketika, berpusu-pusu orang ramai keluar daripada stadium. Qis menjangka konsert J4U telah tamat. Tak lama lepas itu, kumpulan J4U dan pengurusnya pun keluar daripada stadium. Mereka kelihatan sangat seronok. Mungkin kerana peminatnya mereka semakin ramai agaknya. Qis mengambil kesempatan ini untuk mengambil gambar bersama mereka. Dia pun mendekati J4U dan menahan mereka.
“Hello, J4U. Photo?”
Jung Tae Hyun, pemain drum memandang Qis dengan agak dingin. Qis tersentap.
“Sorry,” kata Tae Hyun, dia tidak tahu apa yang Qis hendak cakapkan.
“I’m your fan. Your big fan!” kata Qis.
Kemudian Jun Pyo, pemain gitar bass bercakap dengan Tae Hyun dalam bahasa Korea. Mereka seolah-olah berbincang.
“You want to take picture with us?” kata Jun Pyo sambil membuat gerakan tangan. Qis tersenyum lebar dan mengangguk
“Okey... But just one!” kata Tae Hyun kepada Qis. Qis berasa sungguh gembira. Dia mengambil gambar yang mesra dengan J4U.
Qis pulang ke rumah dengan perasaan yang sangat gembira. Dia merenung beberapa kali satu-satunya gambar dia bersama J4U itu.
“Gembiranya dapat bergambar dengan J4U!!!! Mereka semua ni memang betul-betul comel lah! Tak sangka dapat penuhi hajat aku. Betapa susahnya baru saat ni tiba. Tapi...” Qis berhenti melangkah. Dia menuding jari ke arah gambar tersebut dan mengira anggota kumpulan J4U. “Ada empat je?? J4U kan ada lima orang. Siapa yang tak ada dalam gambar ni? Jung Tae Hyun, Jason, Choi Min Hwa, Kim Jun Pyo, Lee Jun Hee. Ah, yalah. Jun Hee tak ada. Masa aku jumpa J4U pun, dia tak ada. Kemana dia pergi? Ruginya tak dapat tangkap gambar dengan vokalis comel tu...” Qis meneruskan kembali perjalanannya ke rumah.
Qis tiba di hadapan pintu pagar rumahnya.
“Eh, lampu terpasang. Lina dah balik? Baik aku jumpa dia.”
Pintu rumahnya berkunci. Dia mengetuk pintu berkali-kali dan memanggil Lina supaya membukakan pintu untuknya.
“Macam mana aku boleh lupa bawak kunci rumah? Nasib baik aku tinggal dengan Lina. Tapi, mana Lina ni? Tak dengar ke aku ketuk pintu kuat-kuat ni. Lina!! Elina!! Bukaklah pintu. Aku lupa bawak kunci rumah ni. Aku tahu kau ada kat dalam. Belum tidur pun. Tolonglah bukak. Sekejap je, please... Kau nak aku tidur kat luar ke?”
Pintu rumah dibuka.
“Ha, macam nilah kawan aku. Sayang kau Elina.” Qis membuka kasut dan masuk ke dalam rumah.
“Lina, kenapa kau tak jawab panggilan aku tadi? Aku telefon kau banyak kali tahu tak?”
Elina mendiamkan diri dan terus menonton televisyen tanpa mempedulikan Qistina. Qis hanya bersabar dan terus masuk ke dalam biliknya. Dia merebahkan diri di atas katil.
“Ah, penatnya,”kata Qis. Dia kemudiannya mencium-cium gambar yang sangat istimewa baginya itu berkali-kali. Akhirnya, dia tertidur bersama-sama dengan gambar itu.
No comments:
Post a Comment